PROFIL GC

Friday, September 27, 2013

JOM NILAI MURNI ...






Ayat :
Syafiq membantu Cikgu Amen membawa beg yang berisi dua biji bola boling seberat 13 dan 14 kilogram.

Ulasan :
Kita mestilah baik hati seperti Syafiq yang menolong gurunya membawa beg boling itu.


Sunday, September 15, 2013

UPSR 2013

ALHAMDULILLAH ... UPSR 2013 telah berlangsung dengan lancar di SKHM, iaitu dari 10 hingga 12 September 2013. Semua murid tahun enam hadir pada hari tersebut. Terima kasih kepada Tn Guru Besar kerana menaja roti untuk sarapan murid. Terima kasih juga kepada penaja-penaja yang lain. Semoga UPSR 2013 memperoleh keberkatan dan kecemerlangan sebagaimana yang diharap-harapkan. Insya-Allah ...









Tuesday, July 23, 2013

PULANGNYA BAPA KE RAHMATULLAH...

Kira-kira jam 4:00 petang, 17 Julai 2013, bapa dibawa ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang dengan menaiki ambulans kerana sakit perut yang teramat. Terima kasih kepada abang Hamdan dan kakitangan klinik yang ambil berat akan kesihatan bapa.

Jam 4:45 petang bapa dibawa ke Hospital Teluk Intan dengan menaiki ambulans. Aku menyusul dengan menaiki kereta setelah mengambil GL di sekolah.

Bapa ditempatkan di Wad Kecemasan HTI berwarna hijau (tidak kritikal). Kemudian bapa dipindahkan ke Wad Kecemasan berwarna kuning (separa kritikal). Aku sendirian menjaga bapa. Masihku ingat bicara bapa, "Sakitnya, Amenuddin". Sayunya aku hanya Allah yang tahu. Kupujuk bapa untuk mengucap dua kalimah syahadah dan berzikir. Alhamdulillah kerana bapa mengikutnya walaupun terpaksa menahan sakit. Wayar yang berselirat dan jarum menemani bapa yang sebelum ini tidak pernah menghadapi situasi begini.

Kira-kira jam 12:00 tengah malam, bapa dipindahkan ke Wad 1A. Alhamdulillah kerana doktor dan jururawat di situ sangat baik dan sabar melayan karenah bapa. Semoga Allah membalas jasa kalian.

Jam 4:00 pagi, keadaan bapa menjadi kritikal. Jantung menjadi amat lemah. Bapa mula separuh sedar. Aku membisikkan kalimah Allah berulang kali di telinga bapa. Surah Yasin menjadi peneman setia terutamanya saat bapa semakin nazak. Akhirnya, jam 8:35 pagi bapa menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun sedih, aku reda kerana bapa pergi dalam bulan Ramadan.

Bapa dimandikan, dikafan dan disembahyangkan oleh pihak hospital. Aku berpeluang memandikan bapa buat kali yang terakhir. Sungguh berharga pengalaman tersebut bagiku selaku seorang anak, Alhamdulillah kerana aku berkesempatan memandikan bapa ketika hayatnya dan juga ketika akhir hayatnya.

Kira-kira jam 11:30 pagi, jenazah bapa selamat tiba di rumahnya di Batu 12, Hutan Melintang. Tetamu datang untuk menziarahinya buat kali yang terakhir sambil bertahlil dan membaca Yasin. Jam 1:00 tengah hari, jenazah bapa dibawa ke Masjid Jamek Hutan Melintang dengan menaiki kereta jenazah. Selepas solat zuhur, jenazah bapa disolatkan lalu dibawa ke tanah perkuburan berhampiran.

Sayunya hati hanya Allah yang tahu. Airmata menitis seikhlas hati tanpa paksa penuh reda dan sedar. Pusara bapa kutempatkan bersebelahan pusara arwah isteriku, Fatimah Bakar yang telah meninggal dunia pada 7 Oktober 2012.  Ya Allah...tabahkanlah hatiku untuk menghadapi dugaan-Mu ini. Aku reda akan pemergian bapa dan isteriku. Sesungguhnya pemergian mereka bagai diatur tanpa menyusahkan insan yang ditinggalkan oleh mereka. Doaku semoga bapaku, Haji Abdul Aziz bin Shamsuddin dan isteriku, Fatimah binti Bakar ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan sejahtera dalam perlindungan Allah.

Kini, aku tinggal bersama-sama memori yang terpahat kukuh sehingga ke akhir hayat. Semoga aku jua akan ke sana dengan tenang dan dirahmati-Nya. Sesungguhnya, segala milik kita hanya pinjaman buat sementara waktu. Insya-Allah...doa kutitip setiap kali selepas solat sebagai tanda kasih sayangku terhadap mereka walaupun telah berada di tempat yang berbeza.

Al-Fatihah ...

Monday, July 15, 2013

MARI BELAJAR BAHASA

MARI BELAJAR BAHASA 
( Rujukan : Kamus Dewan edisi keempat )

Bahasa percakapan tidak sesuai digunakan dalam situasi rasmi, tetapi tidak salah digunakan di luar konteks rasmi, seperti di kedai kopi, di rumah, atau semasa bersembang-sembang dengan rakan sebaya.

Contoh bahasa percakapan adalah seperti berikut :
1. moh ( ayuh / mari )
2. O.K. ( ya / baiklah / akur / bersetuju )
3. ofis   ( pejabat )

Okey, "Mari Belajar Bahasa" mohon undur diri. Kita jumpa lagi ...


Sunday, March 31, 2013

PERCUTIAN DI SWISS GARDEN DAMAI LAUT

Setelah selesai menyemak kertas Penulisan untuk Program AKAR PPD Hilir Perak, aku bersantai minda dan fizikal di Swiss Garden Damai Laut dari 29 - 31 Mac 2013. Alhamdulillah kerana cuaca baik sepanjang aku bercuti di sini. Antara aktiviti menarik yang aku cuba ialah memanah...sangat menarik !




Sunday, March 3, 2013

BOLING TENPIN MSSD H/PERAK 2013

Alhamdulillah ..... Kejohanan Boling Tenpin Kategori Sekolah Rendah (MSSD H/Perak) telah berlangsung pada 2.3.2013 di Ampang S/Bowl Ipoh bermula jam 10:00 pagi. Pasukan SKHM berjaya mengulangi kecemerlangan selaku johan keseluruhan kategori lelaki dari tahun 2006 hingga kini.

Dua orang murid SKHM berjaya menjadi johan dan naib johan, iaitu Mohd Aidil Afif (Tahun 4M) dan Wan Badrul Izani Wan Rosli (Tahun 5M). Dua orang lagi pemain berjaya menduduki tempat ke-7 (Ahmad Naqiuddin Mat Tuah - Tahun 4M) dan Mohd Adib Aiman Idrus (tahun 4M)  tempat ke-10.



Tahniah ...


Thursday, November 1, 2012

DIARI PEMERGIAN ISTERI 3







8 OKT 2012 : ISNIN
: Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Aula Simpang Empat.
: Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Hutan Melintang dalam cuaca yang redup.
: Pada sebelah malam diadakan majlis tahlil di rumah ini.

DIARI PEMERGIAN ISTERI 2


4 OKT 2012 (Khamis)      
: Aku dan emak menemani isteriku di Wad 8B, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.  Isteriku masih boleh makan tetapi kadar yang sedikit. Aku berpeluang menyuap beberapa sudu bubur nasi sebagai alas perut.
: Keluarga dari Terengganu sampai pada lewat petang. Mereka aku tempatkan di Hotel Fair Park. Beberapa orang rakan isteriku turut hadir untuk menemaninya pada waktu malam.
: Pada waktu malam aku menghantar emakku balik ke rumahnya. Aku perlu balik untuk mengambil kad MAA Takaful isteriku dengan izinnya.

5 OKT 2012 (Jumaat)
: Selepas solat Subuh aku bergegas ke Ipoh. Aku singgah di Hospital KPJ Ipoh untuk memperoleh informasi tentang kemudahan perubatan di situ.
: Keadaan isteri agak lemah. Mata mulai bengkak menyebabkan beliau lebih selesa memejamkan mata. Beliau dipindahkan ke Wad 1B.
: Pada waktu petang, doktor memasukkan darah serta melakukan kimoterapi dalam dos yang paling minimum.
: Kira-kira jam 3.00 pagi, keadaan isteri semakin lemah sehingga memerlukan bantuan pernafasan.
: Semasa azan Subuh, beliau dipindahkan ke Wad 8B (ICU).

6 OKT 2012 (Sabtu)
: Keadaan isteri semakin kritikal.
: Saudara mara dan rakan-rakan datang melawat.
: Scan kepala dijalankan sekali lagi.
: Solat hajat dan bacaan yasin jadi peneman hidupku.

7 OKT 2012 (Ahad)
: Doktor memberitahu keadaan isteriku amat kritikal.
: Keluarga terhampir membaca yasin dan doa untuknya.
: Jam 6.39 petang, beliau pergi meninggalkanku. Sesungguhnya, Allah menyayanginya. Aku reda...
: Jam 8.30 malam, jenazah dibawa pulang ke Hutan Melintang menaiki ambulans.
: Jam 10.30 malam, jenazah tiba. Penduduk setempat mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil.




Wednesday, October 24, 2012

DIARI PEMERGIAN ISTERI MENGHADAP ILAHI 01

SELASA, 2 OKT.2012
Petang : Sakit kepala yang teramat serta muntah.
            : Doktor swasta datang ke rumah lalu menasihati agar isteri dibawa ke Pusat Kesihatan HM.
            : Rawatan oleh  pembantu perubatan on call kerana di luar waktu kerja.
            : Dihantar ke Hospital Teluk Intan menggunakan ambulans.
            : Dirawat di Unit Kecemasan HTI.
Malam : Dimasukkan ke wad 3B pada jam 11.00 malam.

RABU, 3 OKT. 2012
Pagi      : Pelbagai rawatan mula dijalankan oleh doktor.
             : Isteri meminta aku mengambil beberapa barangan di rumah untuk kegunaannya.
             : Aku ke SMKKJ untuk mengambil GL . Isteri melarangku menghebahkan perihal dirinya.
             : Ibu menemani isteri di wad kerana lelaki dilarang masuk kecuali waktu tertentu.
Malam  : Doktor menemuiku untuk memberitahu hasil scan yang mereka buat.
             : Bermulalah episod sedih dalam diari hidupku apabila diberitahu ada pendarahan dalam
               otak, sel putih terlalu banyak dan disyaki menghidap leukemia.
             : Isteriku perlu dihantar ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut.
             : Aku menghubungi keluarga terdekat dan rakan-rakan untuk memaklumkan kejadian ini
               tanpa menghiraukan permintaan isteri agar situasinya tidak dihebahkan.
             : Jam 1.30 pagi, isteriku dibawa ke Hospital Ipoh menggunakan ambulans dengan diiringi
               oleh ibuku.
             : AKu terpaksa balik ke rumah kerana kepala mula berdenyut dek kekurangan rehat.


Monday, September 10, 2012

PROJEK MOTIVASI TUNAS UPSR 2013

Program ini dikendalikan oleh Pn Samainah Abdi ( pelajar PGSR ). Ia merupakan projek yang berkaitan dengan Intership pelajar PGSR.  Encik Amenuddin Abdul Aziz bertindak selaku mentor kepada Pn. Samainah Abdi.
Projek ini berlangsung pada 10 September 2012 dari jam 9.00 hingga 10.40 pagi bertempat di PKG Hutan Melintang. Penceramahnya ialah Encik Kamaruzzaman Abas, Penolong Pengarah Kaunseling Kolej Matrikulasi Perak.


Seramai 40 orang murid dari SKHM dan 4 orang murid dari SK Simpang Empat terlibat dalam program ini.

Friday, August 10, 2012

PEMANTAUAN PRGM SISC KALI KE-2

Pada hari ini, 10 Ogos 2012, Jumaat, aku menjalankan pemantauan bagi kali ke-2 di SJK(C) Yee Hwa Sungai Belukang. Program ini hasil kolaborasi antara KPM,JPN dan PPD.

 PINTU MASUK UTAMA SEKOLAH

 BERSAMA GURU B/MALAYSIA DAN MURID TAHUN ENAM

BERSAMA GURU BESAR SJK(C) YEE HWA

Dapatan pemantauan kali ini menunjukkan berlakunya peningkatan prestasi murid dalam subjek Bahasa Malaysia berdasarkan rekod prestasi murid dalam Ujian Pertengahan Tahun dan Ujian Percubaan UPSR. Diharapkan murid-murid tersebut mampu memperoleh A dalam UPSR kelak terutamanya bagi subjek Bahasa Malaysia.

Bagi merealisasikan harapan sekolah untuk meraih kecemerlangan, aku mencadangkan kepada guru Bahasa Malaysia, iaitu Encik Teoh agar melaksanakan Teknik MESWA TIRU bagi subjek Bahasa Malaysia Penulisan.

Menurut kata Guru Besarnya, Pn. Law, prestasi sekolah ini semakin meningkat setelah memperoleh bilangan guru yang mencukupi. Sebelum ini, P&P dijalankan secara kelas bercantum yang melibatkan murid tahun 1 hingga tahun 6.


Thursday, August 9, 2012

PEMANTAUAN JEMAAH NAZIR

Pada 1 Ogos 2012 (Rabu), dua orang jemaah nazir telah hadir ke SKHM bagi memantau dan menilai prestasi aku dalam permohonan kenaikan gred dari DGA34 ke DGA 38. Alhamdulillah, fail peribadi yang lengkap memudahkan proses pemantauan tersebut. Semua butiran yang diperlukan juga telah tersedia ada. Justeru, tiada sebarang komen negatif yang kuterima.

Alhamdulillah jua kerana semua murid Tahun 5 Merah memberikan kerjasama yang sepenuhnya semasa jemaah nazir memantau proses pembelajaran & pengajaranku dalam kelas tersebut bagi subjek Bahasa Melayu (Penulisan). Pengaplikasian Teknik MESWA TIRU dapat kulaksanakan untuk kefahaman jemaah nazir tersebut.

ALHAMDULILLAH .... hanya pada-Mu kuberserah !


Monday, July 16, 2012

PGRM TEKNIK MENJAWAB SOALAN B/MELAYU

Program ini telah berlangsung di SK Seri Setia, Teluk Intan pada 16 Julai 2012, dari jam 3.00 - 5.00 petang. Terima kasih kepada warga SKSS atas kesudian menjemput saya.



Friday, July 6, 2012

PGRM TEKNIK MENJAWAB SOALAN B/MELAYU

Program ini telah berlangsung di SK Simpang Empat pada 6 Julai 2012 dari jam 3.00 - 5.00 petang. Terima kasih kepada pihak urus setia atas jemputan sebagai penceramah ini.


Thursday, July 5, 2012

PGRM TEKNIK MENJAWAB SOALAN B/MELAYU

Program ini telah berlangsung di SK. Tanah Lalang pada 5 Julai 2012, Khamis dari jam 8.00 hingga 10.00 pagi.


Thursday, June 28, 2012

BENGKEL GURU CEMERLANG

Bengkel Guru Cemerlang Hilir Perak telah berlangsung di SMK Seri Perak Teluk Intan pada 28 Jun 2012 dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Pelbagai informasi terutamanya berkaitan dengan prestasi guru-guru cemerlang dibentangkan pada waktu itu.

Tahniah kepada semua GC yang hadir.


PRGM BULAN BAHASA : KOIR TAHAP 1

Alhamdulillah....sempena Bulan Bahasa sepanjang Jun ini, aktiviti koir khas untuk murid-murid tahap satu telah berjaya dijalankan dengan bimbingan Pn. Samainah Abdi pada 26 Jun 2012 bertempat di Dewan Terbuka SKHM.

Pasukan tahun dua dan tahun tiga berentap untuk bergelar juara. Faktor kehebatan persembahan menyebabkan pasukan dari tahun tiga berjaya menjadi johan. Tahniah diucapkan.

Saturday, June 23, 2012

PGRM BULAN BAHASA : SAHIBBA

Sahibba telah berlangsung di kantin sekolah pada 21 Jun 2012, Khamis dari jam 8.00 hingga 10.30 pagi. Pada peringkat awal seramai 16 orang murid mengambil bahagian. Kemudian johan setiap kumpulan layak ke peringkat akhir.

Keputusan mutakhir adalah seperti berikut :
JOHAN     : AHMAD AIMAN BIN HASHIM - 6 MERAH
NAIB JOHAN : NORSAZZALINA BT. SALIM - 6 KUNING
KETIGA : MOHD DANIAL AQMAR B. JOHHA - 5 MERAH
KEEMPAT : MOHD AMEL ALIF BIN NORADZMI - 6 MERAH

Tahniah kepada para pemenang.

Friday, June 15, 2012

PGRM BULAN BAHASA: LAWATAN KE IPOH

Program ini telah berlangsung pada 14 Jun 2012 (Khamis). Seramai 38 orang murid dan 4 orang guru pengiring menyertai program ini. Para peserta bertolak pada jam 7.30 pagi dari pekarangan sekolah dan pulang pada jam 7.00 malam.

Lokasi lawatan ialah Ampang Superbowl Ipoh dan Taman Rekreasi Gunung Lang. Seramai 10 orang murid lelaki dan 4 orang murid perempuan berjaya dikenal pasti sebagai pelapis pasukan boling tenpin SKHM 2013. Latihan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri. Murid-murid juga berpeluang mengenal pasti flora dan fauna yang terdapat di persekitaran Gunung Lang tersebut. Pada akhir lawatan, murid-murid dikehendaki melengkapkan lembaran kerja berkaitan lawatan tersebut.

Terima kasih atas kerjasama Cikgu Amen, Cikgu Yusni, Cikgu Hazuari dan Cikgu Ros Hanizah bagi menjayakan program ini.