PROFIL GC

Friday, September 27, 2013

JOM NILAI MURNI ...






Ayat :
Syafiq membantu Cikgu Amen membawa beg yang berisi dua biji bola boling seberat 13 dan 14 kilogram.

Ulasan :
Kita mestilah baik hati seperti Syafiq yang menolong gurunya membawa beg boling itu.


Sunday, September 15, 2013

UPSR 2013

ALHAMDULILLAH ... UPSR 2013 telah berlangsung dengan lancar di SKHM, iaitu dari 10 hingga 12 September 2013. Semua murid tahun enam hadir pada hari tersebut. Terima kasih kepada Tn Guru Besar kerana menaja roti untuk sarapan murid. Terima kasih juga kepada penaja-penaja yang lain. Semoga UPSR 2013 memperoleh keberkatan dan kecemerlangan sebagaimana yang diharap-harapkan. Insya-Allah ...









Tuesday, July 23, 2013

PULANGNYA BAPA KE RAHMATULLAH...

Kira-kira jam 4:00 petang, 17 Julai 2013, bapa dibawa ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang dengan menaiki ambulans kerana sakit perut yang teramat. Terima kasih kepada abang Hamdan dan kakitangan klinik yang ambil berat akan kesihatan bapa.

Jam 4:45 petang bapa dibawa ke Hospital Teluk Intan dengan menaiki ambulans. Aku menyusul dengan menaiki kereta setelah mengambil GL di sekolah.

Bapa ditempatkan di Wad Kecemasan HTI berwarna hijau (tidak kritikal). Kemudian bapa dipindahkan ke Wad Kecemasan berwarna kuning (separa kritikal). Aku sendirian menjaga bapa. Masihku ingat bicara bapa, "Sakitnya, Amenuddin". Sayunya aku hanya Allah yang tahu. Kupujuk bapa untuk mengucap dua kalimah syahadah dan berzikir. Alhamdulillah kerana bapa mengikutnya walaupun terpaksa menahan sakit. Wayar yang berselirat dan jarum menemani bapa yang sebelum ini tidak pernah menghadapi situasi begini.

Kira-kira jam 12:00 tengah malam, bapa dipindahkan ke Wad 1A. Alhamdulillah kerana doktor dan jururawat di situ sangat baik dan sabar melayan karenah bapa. Semoga Allah membalas jasa kalian.

Jam 4:00 pagi, keadaan bapa menjadi kritikal. Jantung menjadi amat lemah. Bapa mula separuh sedar. Aku membisikkan kalimah Allah berulang kali di telinga bapa. Surah Yasin menjadi peneman setia terutamanya saat bapa semakin nazak. Akhirnya, jam 8:35 pagi bapa menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun sedih, aku reda kerana bapa pergi dalam bulan Ramadan.

Bapa dimandikan, dikafan dan disembahyangkan oleh pihak hospital. Aku berpeluang memandikan bapa buat kali yang terakhir. Sungguh berharga pengalaman tersebut bagiku selaku seorang anak, Alhamdulillah kerana aku berkesempatan memandikan bapa ketika hayatnya dan juga ketika akhir hayatnya.

Kira-kira jam 11:30 pagi, jenazah bapa selamat tiba di rumahnya di Batu 12, Hutan Melintang. Tetamu datang untuk menziarahinya buat kali yang terakhir sambil bertahlil dan membaca Yasin. Jam 1:00 tengah hari, jenazah bapa dibawa ke Masjid Jamek Hutan Melintang dengan menaiki kereta jenazah. Selepas solat zuhur, jenazah bapa disolatkan lalu dibawa ke tanah perkuburan berhampiran.

Sayunya hati hanya Allah yang tahu. Airmata menitis seikhlas hati tanpa paksa penuh reda dan sedar. Pusara bapa kutempatkan bersebelahan pusara arwah isteriku, Fatimah Bakar yang telah meninggal dunia pada 7 Oktober 2012.  Ya Allah...tabahkanlah hatiku untuk menghadapi dugaan-Mu ini. Aku reda akan pemergian bapa dan isteriku. Sesungguhnya pemergian mereka bagai diatur tanpa menyusahkan insan yang ditinggalkan oleh mereka. Doaku semoga bapaku, Haji Abdul Aziz bin Shamsuddin dan isteriku, Fatimah binti Bakar ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan sejahtera dalam perlindungan Allah.

Kini, aku tinggal bersama-sama memori yang terpahat kukuh sehingga ke akhir hayat. Semoga aku jua akan ke sana dengan tenang dan dirahmati-Nya. Sesungguhnya, segala milik kita hanya pinjaman buat sementara waktu. Insya-Allah...doa kutitip setiap kali selepas solat sebagai tanda kasih sayangku terhadap mereka walaupun telah berada di tempat yang berbeza.

Al-Fatihah ...

Monday, July 15, 2013

MARI BELAJAR BAHASA

MARI BELAJAR BAHASA 
( Rujukan : Kamus Dewan edisi keempat )

Bahasa percakapan tidak sesuai digunakan dalam situasi rasmi, tetapi tidak salah digunakan di luar konteks rasmi, seperti di kedai kopi, di rumah, atau semasa bersembang-sembang dengan rakan sebaya.

Contoh bahasa percakapan adalah seperti berikut :
1. moh ( ayuh / mari )
2. O.K. ( ya / baiklah / akur / bersetuju )
3. ofis   ( pejabat )

Okey, "Mari Belajar Bahasa" mohon undur diri. Kita jumpa lagi ...


Sunday, March 31, 2013

PERCUTIAN DI SWISS GARDEN DAMAI LAUT

Setelah selesai menyemak kertas Penulisan untuk Program AKAR PPD Hilir Perak, aku bersantai minda dan fizikal di Swiss Garden Damai Laut dari 29 - 31 Mac 2013. Alhamdulillah kerana cuaca baik sepanjang aku bercuti di sini. Antara aktiviti menarik yang aku cuba ialah memanah...sangat menarik !




Sunday, March 3, 2013

BOLING TENPIN MSSD H/PERAK 2013

Alhamdulillah ..... Kejohanan Boling Tenpin Kategori Sekolah Rendah (MSSD H/Perak) telah berlangsung pada 2.3.2013 di Ampang S/Bowl Ipoh bermula jam 10:00 pagi. Pasukan SKHM berjaya mengulangi kecemerlangan selaku johan keseluruhan kategori lelaki dari tahun 2006 hingga kini.

Dua orang murid SKHM berjaya menjadi johan dan naib johan, iaitu Mohd Aidil Afif (Tahun 4M) dan Wan Badrul Izani Wan Rosli (Tahun 5M). Dua orang lagi pemain berjaya menduduki tempat ke-7 (Ahmad Naqiuddin Mat Tuah - Tahun 4M) dan Mohd Adib Aiman Idrus (tahun 4M)  tempat ke-10.



Tahniah ...