PROFIL GC

Wednesday, April 29, 2009

PROGRAM TURUN BANTU SEKOLAH

Pada 29 April 2009 telah diadakan mesyuarat di kalangan GC sekolah rendah bertempat di Bilik Gerakan PPD Hilir Perak dari jam 2:30 - 4:30 petang. Mesyuarat tersebut berkaitan dengan Program Turun Bantu Sekolah di kalangan GC sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.

Satu perjumpaan di kalangan GC dengan guru-guru dari sekolah yang terbabit akan diadakan sekali lagi bertempat di PPD Hilir Perak dalam jangka masa terdekat ini. Objektifnya adalah untuk mengenal pasti masalah dan mencari jalan penyelesaiannya secara musyawarah. Semoga perjumpaan tersebut akan dapat merungkaikan setiap permasalahan di samping berjaya mengeratkan hubungan di kalangan warga pendidikan.

Tuesday, April 28, 2009

LATIHAN PUSAT BOLING TENPIN KALI - 1

Pada 28/4/2009, aku membawa 4 orang pemain boling tenpin dari SK Hutan Melintang ke Ampang Superbowl Ipoh bagi menjalani latihan pusat kali - 1. Kami bertolak dari sekolah kira-kira pada jam 7.45 pagi. Kami berkumpul di SK Sultan Abdul Aziz untuk berkonvoi dengan pemain-pemain dari sekolah lain, iaitu SK Sultan Abdul Aziz, SK Kg. Bahagia, SMK Convent, SMK Sultan Abdul Aziz, SMK Raja Muda Musa, SMK Sg. Manik, SMK Abdul Rahman Talib, SMK Seri Perak, SEMESTI dan SMK Hutan Melintang.

Kami tiba di pusat boling pada jam 10:15 pagi. Atur cara dimulakan dengan taklimat ringkas untuk semua pemain. Aku menekankan aspek disiplin sewaktu menjalani latihan supaya para pemain mencapai sasaran minimum yang pihak kami tetapkan. Pemain yang mencapai tahap minimum akan diberi peluang bermain 4 games pada latihan ke-2 nanti secara percuma. Pemain yang gagal pula perlu membayar kos permainan sebanyak dua games daripada sejumlah empat games yang ditetapkan untuk latihan kali ke-2 kelak. Berikut ialah sasaran minimum yang perlu dicapai oleh para pemain :-
Lelaki 12 tahun : 125
Lelaki 15 tahun : 135
Lelaki 18 tahun : 140
Perempuan 12 tahun: 110
Perempuan 15 tahun: 120
Perempuan 18 tahun: 125

Pada akhir latihan, kesemua pemain lelaki bawah 15 tahun berjaya mencapai tahap minimum. Prestasi mereka juga amat memberangsangkan dan dijangka mampu memberikan saingan sengit pada masa kejohanan negeri nanti. Selain itu, prestasi pemain lelaki bawah 12 tahun turut membanggakan dan dijangka mempunyai potensi untuk memperoleh kejayaan semasa kejohanan nanti. Prestasi pemain kategori lain masih sederhana dan perlu diperbaiki lagi sekiranya ingin berjaya. Justeru, latihan pusat kali -2 akan memberikan mereka peluang untuk memperbaiki prestasi diri.

Sunday, April 26, 2009

KELAS TAMBAHAN

Pada pagi 26 April 2009, aku memulakan tugasku sebagai guru kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu (Penulisan) di SK. Teluk Buloh. Walaupun pada mulanya aku agak keberatan untuk menerima tugasan ini atas faktor kekangan masa, namun aku tidak sanggup pula untuk menghampakan harapan dan penghargaan daripada rakan sejawat dari sekolah yang berkenaan. Justeru, aku menerimanya dengan syarat jadual waktu boleh diubah suai mengikut keperluan dan situasi.

Esok aku akan memastikan kelas tambahan di sekolahku sendiri akan berjalan dengan lancar. Tidaklah nanti aku diumpamakan sebagai "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan". Bimbang juga sekiranya prestasi di sekolah sendiri tidak mencapai sasaran yang diharapkan.

Thursday, April 23, 2009

BANYAKNYA KERJA.....

Alhamdulillah pada tengah malam ini aku berpeluang untuk mengemaskinikan blog yang telah sekian lama aku abaikan. Tuntutan tugas yang terlalu padat menyebabkan aku menghadapi kekangan masa untuk menulis seperti sebelum ini. Namun, bak kata peribahasa "Alah bisa tegal biasa".

Sepanjang April ini aku sibuk dengan program Guru Cemerlang yang diadakan pada hari Rabu. Aku juga "laku" apabila sering diminta menjadi hakim pertandingan seperti bercerita dan syarahan. Adilkah aku? Entahlah....tetapi apabila menerima tanggungjawab, aku akan cuba melaksanakannya sebaik mungkin.

Aku juga dilantik sebagai Pentaksir Kawasan untuk PLBS Bahasa Melayu. Justeru, aku mengembara ke beberapa buah sekolah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman tentang PLBS. Bermacam-macam situasi guru yang sempat aku lihat tatkala proses pemantauan berlangsung. Pengalaman pergi ke Taiping untuk taklimat PLBS negeri amat menyeronokkan terutamanya ketika tersesat jalan dengan Cikgu Ariffin. Makan kuetiau goreng istimewa yang berharga RM8.00 sepinggan di Restoran Doli juga amat menarik.

Kini aku menerima satu lagi tugasan tambahan, iaitu menyelaras pemain-pemain boling tenpin sekolah rendah Daerah Hilir Perak yang akan bertanding ke peringkat negeri dari 3 - 7 Mei 2009 ini. Memang letih mental dan fizikal. Namun dek kerana ada murid-murid aku yang terbabit, aku terpaksa berkorban diri sekali lagi. Orang tidak nampak keperitan dan kepenatan yang aku alami sepanjang melaksanakan tugasan kerana di mata sesetengah daripada mereka semua itu berbaloi apabila aku mencetak borang tuntutan / "claim".

Biarlah apapun pandangan orang lain asalkan aku tahu apa yang aku lakukan!