PROFIL GC

Thursday, April 23, 2009

BANYAKNYA KERJA.....

Alhamdulillah pada tengah malam ini aku berpeluang untuk mengemaskinikan blog yang telah sekian lama aku abaikan. Tuntutan tugas yang terlalu padat menyebabkan aku menghadapi kekangan masa untuk menulis seperti sebelum ini. Namun, bak kata peribahasa "Alah bisa tegal biasa".

Sepanjang April ini aku sibuk dengan program Guru Cemerlang yang diadakan pada hari Rabu. Aku juga "laku" apabila sering diminta menjadi hakim pertandingan seperti bercerita dan syarahan. Adilkah aku? Entahlah....tetapi apabila menerima tanggungjawab, aku akan cuba melaksanakannya sebaik mungkin.

Aku juga dilantik sebagai Pentaksir Kawasan untuk PLBS Bahasa Melayu. Justeru, aku mengembara ke beberapa buah sekolah bagi berkongsi ilmu dan pengalaman tentang PLBS. Bermacam-macam situasi guru yang sempat aku lihat tatkala proses pemantauan berlangsung. Pengalaman pergi ke Taiping untuk taklimat PLBS negeri amat menyeronokkan terutamanya ketika tersesat jalan dengan Cikgu Ariffin. Makan kuetiau goreng istimewa yang berharga RM8.00 sepinggan di Restoran Doli juga amat menarik.

Kini aku menerima satu lagi tugasan tambahan, iaitu menyelaras pemain-pemain boling tenpin sekolah rendah Daerah Hilir Perak yang akan bertanding ke peringkat negeri dari 3 - 7 Mei 2009 ini. Memang letih mental dan fizikal. Namun dek kerana ada murid-murid aku yang terbabit, aku terpaksa berkorban diri sekali lagi. Orang tidak nampak keperitan dan kepenatan yang aku alami sepanjang melaksanakan tugasan kerana di mata sesetengah daripada mereka semua itu berbaloi apabila aku mencetak borang tuntutan / "claim".

Biarlah apapun pandangan orang lain asalkan aku tahu apa yang aku lakukan!

No comments:

Post a Comment