PROFIL GC

Wednesday, February 25, 2009

MESYUARAT GURU CEMERLANG KALI KE-2/2009

Mesyuarat ini berlangsung di PPD Hilir Perak mulai 8.30 pagi dan berakhir kira-kira pada jam 1.00 petang. Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan perihal terma guru cemerlang oleh Pn. Hjh. Noraini Hasbollah ( bekas guru aku semasa tingkatan enam di SMK Seri Perak pada tahun 1984. Semasa itu keluarganya masih membuka kantin di kilang mancis di Batu 2 Jln Maharaja Lela. Terima kasih sebab belanja aku dan Zul minum di kantin pada masa kami berkunjung
ke kantin tersebut. Terima kasih juga kerana Pn Hjh. Noraini amat prihatin terhadap kami pada masa itu. )

Antara program yang agak mencabar ialah berkunjung ke sekolah yang berprestasi rendah bagi membantu mereka menggenggam kecemerlangan.Insya-Allah, perkongsian idea antara kita akan membuahkan kejayaan.

OLAHRAGA PERINGKAT DAERAH H/PERAK

Atlet -atlet sedang berkumpul dalam acara penutup.


Prasanthrao dan rakan-rakannya menerima pingat emas dalam acara 4x200m daripada Penyelia Sukan, En. Alias Sali.
Perasaaaaannnn le tuuu....geletek le!!


Kejohanan Olahraga Daerah Hilir Perak telah berlangsung pada 24 Februari 2009 bertempat di Stadium Mini Sabak Bernam dari jam 2.30 petang hingga 6.00 petang. Sebanyak lapan kelompok bertanding dalam temasya sukan ini.

Murid-murid dari SK Hutan Melintang turut terlibat. Antaranya adalah seperti berikut :-
01. Mohd Samsul Abdul Karim - 4 X 100m - keempat
02. Prasanthrao - 4 X 200m - johan
03. Norsyafiqah - 4 X 100m - ketujuh
04. Siti Adila Farha - 100m - kelima
05. Mohd Adib - lontar peluru
06. Razin Roslain - lompat tinggi

Tahniah kepada yang berjaya. Jika gagal, usaha lebih gigih lagi!
Olahragawan dan olahragawati disandang oleh murid dari kelompok 1.

Sunday, February 22, 2009

PENGGUNAAN " DI... "

Apabila 'di' bertemu dengan kata kerja.......rapatkan.
Contoh : dimakan, disuruh, ditembak, dipegang


Apabila 'di' bertemu dengan tempat........jarakkan.
Contoh : di Ipoh, di gerai, di sana, di klinik

Friday, February 20, 2009

SUKAN SKHM 2009


Atlet-atlet dari Rumah Hijau kembali ke rumah sukan setelah berakhirnya acara perbarisan.


Antara tetamu yang hadir bagi memeriahkan lagi temasya sukan.


Lafaz ikrar sukan diketuai oleh Mu'az bin Mohamad Nadzri....perasan le tuuuuu!!!

Pada 19 Februari 2009, hari Khamis telah berlangsung sukan tahunan kali ke-21 SK Hutan Melintang. Atur cara bermula pada jam 2.20 petang dan berakhir kira-kira pada pukul 5.00 petang. Pelbagai acara sukan dijalankan dengan jayanya.

Guru Besar merasmikan majlis pembukaannya manakala YDP PIBG pula merasmikan majlis penutupannya. Rumah Biru berjaya menjadi johan, diikuti oleh Rumah Hijau dan Rumah Merah. Perbarisan dimenangi oleh Rumah Biru.

Olahragawan disandang oleh Mohd Samsul bin Abdul Karim dari Rumah Hijau. Olahragawati pula dianugerahkan kepada Razin binti Roslain dari Rumah Hijau. Kejohanan olahraga pada kali ini diadakan secara tertutup tetapi meriah.

Tuesday, February 17, 2009

OLAHRAGA KELOMPOK 5

Atlet 4x200m sedang menerima hadiah...seronok le tu!

Nurul Fadhlina menerima hadiah 80m lari berpagar...bangga le tu!

Aku dan Latif turut menyibuk di stadium...

Aku dan pasukan 4x200m...macam-macam saiz badan ada....!

Aku sedang lepak dengan atlet-atlet le kononnya...


Pada 17 Februari 2009, SK Hutan Melintang menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Kelompok 5 bertempat di Stadium Mini Sabak Bernam bermula pada jam 2.30 petang. Atur cara tamat kira-kira pada jam 6.30 petang.

Seramai 26 orang atlet yang mengambil bahagian di bawah asuhan Cikgu Ashady, Cikgu Amen dan Cikgu Ijam. Guru-guru lain juga ada melibatkan diri dalam pemilihan para atlet tersebut.

Berikut ialah keputusan yang berjaya diperoleh :
100 meter (L5) : Ikmal (Perak)
100 meter (P5) : Adila (Emas)
100 meter (P4) : Norsyafiqah (Perak)
200 meter (T) : Prasanthrao (Gangsa)
80m berpagar (P) : Norfadhlina (Perak)
4x100m (L) : Faizul, Farid, Prasanth, Samsul (Perak)
4x200m (L) : Muaz, Firdaus, Roshan, Amir (Gangsa)
4x200m (P) : Adila, Syafiqah, Tasya, Hanis (Perak)
L.Tinggi (P) : Razin (Emas)
L.Peluru (L5) : Adib (Perak)











Monday, February 16, 2009

KATA SENDI "OLEH"

Kata sendi "oleh" tidak boleh digunakan apabila bertemu dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua. Namun, kata sendi "oleh" boleh digunakan jika bertemu dengan kata ganti nama diri ketiga.

KGND Pertama : aku, saya, beta, kita, kami ...
KGND Kedua : kamu, awak, engkau, tuanku, kalian ...
KGND Ketiga : dia, ia, nya, baginda, mereka ...

Nasi itu ditanak oleh saya. ( X )
Nasi itu saya tanak. ( / )

Gambar itu dilukis oleh engkau? ( X )
Gambar itu engkau lukis? ( / )

Lagu itu telah dicipta olehnya. ( / )
Derma itu telah disumbangkan oleh baginda. ( / )
Basikal itu ditunggang oleh adik. ( / )
Baju ini dijahit oleh ibu saya. ( / )

Sunday, February 15, 2009

DARI @ DARIPADA...

Bagi mengelakkan murid-murid keliru tentang penggunaan "dari" atau "daripada", gunakanlah petua ini.

DARI - melibatkan 'tempat' dan 'masa'.

Contoh : 1. Syamsul berasal dari Kuala Lumpur.
2. Saya menunggunya di rumah dari pagi tadi lagi.

Yang lain-lain, gunakanlah "daripada".

Saturday, February 14, 2009

FORUM MODEL PELAJAR

Amboi, khusyuknya...atau lenanya...!

Align Center

Gambar aku dengan ahli-ahli panel forum yang merupakan bekas muridku pada tahun 2003.

Ahli panel forum - Nabilah & Atiqah

Ahli panel forum - Nabil & Aiman

Guru Besar SKHM sedang menyampaikan ucapan ...




Pada 14 Februari 2009, hari Sabtu bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 10.30 pagi telah berlangsung Program Forum Model Pelajar untuk murid-murid tahun enam di kantin SK. Hutan Melintang. Seramai 51 orang murid hadir dalam majlis tersebut.

Ahli-ahli panel merupakan bekas pelajar SKHM pada suatu masa dahulu ( 2003 - UPSR ). Mereka merupakan pelajar dari SEMESTI ( Nabil Fikri Khairuzzaman), MRSM Lenggong( Aiman Asyraf Armain ), MRSM Langkawi ( Nur Atiqah Mohd Shahar ) dan Kolej Yayasan Saad Melaka ( Siti Nabilah Asror ).

Tuan Guru Besar, Tn. Hj. Kamalodin Mohamad dan beberapa orang guru turut hadir pada hari tersebut. Pelbagai informasi berkaitan dengan kemahiran belajar berjaya diperoleh menerusi program tersebut.

Terima kasih kepada semua....
Bangga rasanya aku kerana murid-muridku semakin berjaya!

Thursday, February 12, 2009

SUKAN SEBELUM SUKAN

Amboi, khusyuknya para pegawai lompat tinggi!




Ha! Nak lontar peluru atau nak timbang peluru?

Inilah jejaka-jejaka kacak Malaya! Perasaan itu emosi, perasan itu biasalah...


12 FEBRUARI 2009
KHAMIS

8.00 pagi
Semua murid berkumpul di padang sekolah.
8.10 pagi
Acara perbarisan dijalankan dengan dipimpin oleh Cikgu Yusni dan Cikgu Zakiah.
Muaz dilantik sebagai ketua perbarisan.
8.50 pagi
Acara sukan sebelum sukan bermula. Antaranya ialah 200 meter, 4x200 meter, 80 meter lagi berpagar, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. Sebagaimana yang telah ditetapkan, aku bertugas sebagai pelepas. Sememangnya seronok tugasan ini kerana jangka masa bertugas agak pendek. Justeru, aku boleh rehat awal...jangan marah....!!
10.30 pagi
Acara sukan sebelum sukan berakhir. Selepas waktu rehat, aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Pelajaran tetap utama walaupun sibuk bersukan.












Monday, February 9, 2009

IALAH @ ADALAH

Murid-murid sering keliru tentang penggunaan "ialah" dan "adalah" dalam struktur ayat yang ditulis oleh mereka.

Ha, di sini ada satu petua untuk menangani kekeliruan tersebut!

Ingat "KERNA", ingat "ialah".

"KER" bermaksud kata kerja. "NA" bermaksud kata nama.

Contoh ayat :
1. Hobinya ialah memancing ikan.
2. Nama kucing itu ialah Tompok.

Kesimpulannya, "ialah" digunakan apabila bertemu dengan "KERNA".

Saturday, February 7, 2009

BUTET KELIRU...


Butet yang baru masuk tahun satu keliru apabila guru Bahasa Melayu menyatakan bahawa ejaan "burong" yang ditulisnya itu salah. Menurut kata guru itu, ejaan yang betul ialah "burung".


Sekembalinya di rumah, Butet yang masih keliru bertanyakan hal tersebut kepada ibunya. Setelah melihat ejaan tersebut, ibunya turut mengatakan bahawa ejaan yang betul ialah "burung" bukannya "burong". Kasihan Si Butet kerana tiada sesiapa yang menyebelahinya.


Kemudian Butet memberitahu ibunya, " Tapi mami, semasa latihan ejaan tu, cikgu sebut perkataan tu " bu - rong " , bukannya " bu - rung ". Bukankah jika bunyi "rong" ejaannya juga "rong" ? Tergamam si ibu setelah mendengar penjelasan Si Butet.


Mungkin guru-guru cemerlang Bahasa Melayu di Malaysia ini mampu menyelesaikan kekeliruan Si Butet. Bersatulah aduhai pencinta dan pengguna bahasa Melayu agar kita memperoleh satu jawapan yang tepat dan padat !

Friday, February 6, 2009

PERJUMPAAN GURU CEMERLANG KALI - 1

Pada 4 Februari 2009, semua guru cemerlang Daerah Hilir Perak telah bertemu di PPD Hilir Perak buat kali pertama. Salam dihulur dan bermulalah detik perkenalan antara satu sama lain. Sekeping sijil seolah-olah watikah pelantikan sebagai guru cemerlang turut disampaikan pada pagi itu. Terasa seolah-olah diri masing-masing diiktiraf dan dihargai.

Semoga guru cemerlang terus gemilang dan terbilang !